KLUANG: Seorang lelaki menjadi korban pertama banjir di Johor apabila kenderaan dinaikinya dihanyut arus deras ketika melalui Jalan GSA Chamek-Paloh, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mayat mangsa berusia 20-an itu ditemui dalam kereta jenis Toyota Avanza yang dipandunya.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jam 12.20 tengah hari tadi oleh pasukan boatman IPD Kluang.

"Mayat mangsa ditemui berada di dalam kereta yang dibawa arus lebih kurang 20 hingga 30 meter dari jalan besar.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan merupakan jalan besar Chamek-Kluang.

"Arus air laju dari kawasan ladang berhampiran jalan dipercayai telah menolak kenderaan mangsa ke dalam kawasan ladang bertentangan.

"Ketika kejadian mangsa berseorangan untuk ke tempat kerja di kilang kelapa sawit, Ladang Kekayaan Paloh," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bahrin dalam pada itu menasihati orang ramai agar berwaspada dan berhati-hati ketika melalui jalan raya yang dinaiki air.

"Patuhi arahan lalu lintas yang telah dikeluarkan pihak berkuasa," katanya lagi.